Eropah

Mafia Itali cari peluang dalam sektor kesihatan

Oleh AFP

Rom: Kumpulan Mafia di Itali mula meninjau sektor kesihatan dan projek infrastruktur yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU) untuk dijadikan lubuk duit.

"Pelaburan jenayah yang signifikan dapat dibayangkan dalam syarikat yang beroperasi di rantaian kesihatan berkenaan," tulis polis penyiasat anti-mafia Itali (DIA) dalam laporan dwitahunan kepada parlimen.

Sasarannya membabitkan pembinaan dan pengubahsuaian hospital, pengeluaran dan penyaluran peralatan perubatan, pengurusan hasil sisa hospital, sanitari dan perkhidmatan pengebumian, kata DIA.

Polis berkata, berlaku 'kemungkinan besar' organisasi mafia akan 'cuba memintas saluran pembiayaan baharu' yang mungkin dilaksanakan bagi membangunkan semula infrastruktur di Itali selain memodenkan ekonomi negara berkenaan.

Rom dijangka menerima lebih 200 bilion Euro daripada EU di bawah dana pemulihan Covid-19 sepanjang 2021 hingga 2026.

DIA meminta 'kewaspadaan sepenuhnya' terhadap syarikat yang menawar tender awam sektor kesihatan, menunjukkan perubahan korporat dalam pemilikan, struktur atau lokasi pejabat yang mungkin menjadi tanda campur tangan mafia.

Mereka juga mengatakan bahawa perbincangan untuk menyelaraskan prosedur tender awam untuk meminimumkan risiko penundaan dalam projek yang dibiayai EU "harus disertai dengan pemantauan antimafia yang cermat dan cepat."

Kumpulan jenayah terancang Itali seperti Calabrian 'Ndrangheta dan Cosa Nostra di Sicily mempunyai rekod menyusup ke dalam projek-projek kerja awam utama, kebiasaannya melalui hubungan politik.

Dalam laporannya, DIA menyatakan bahawa 'Ndrangheta dan Cosa Nostra telah mengeksploitasi krisis ekonomi yang ditimbulkan oleh wabak berkenaan untuk memberi pinjaman kepada pemilik perniagaan yang terdesak.

Mereka juga memberikan bantuan kepada orang miskin dengan mengagihkan bantuan makanan atau menawarkan pekerjaan di pasaran gelap kepada mereka yang tidak bekerja akibat krisis, tambah laporan itu.

Tahun lalu, ekonomi Itali merosot hampir sembilan peratus, dalam kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia Kedua, dan hampir 450,000 orang - kebanyakannya wanita, pekerja muda dan individu bekerja sendiri - kehilangan pekerjaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 7:37pm
    d