itmetro

Zoom perkemas aplikasi baiki kerentanan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

APLIKASI persidangan video, Zoom dilaporkan sudah mengemas kini versi terbarunya sekali gus membaiki kerentanan sebelum ini kerana dikatakan menghantar kod pengguna kepada Facebook.

Zoom menjadi aplikasi yang semakin popular ketika ini berikutan kebanyakan kakitangan awam atau swasta menjadikan ia sebagai medium untuk mengadakan mesyuarat serta perbincangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta kuarantin yang dilaksanakan di seluruh dunia.

Sebuah portal teknologi melaporkan bahawa wujud pendedahan daripada pihak ketiga bahawa aplikasi berkenaan menghantar kod pengguna kepada Facebook.

Menerusi kemas kini versi terbaharu, aplikasi berkenaan sudah membaiki kerentanan berkenaan dan memastikan ia lebih selamat berbanding sebelum ini.

Kod berkenaan dikatakan mempunyai maklumat berkaitan jenis peranti yang digunakan, lokasi zon waktu dan bandar tertentu ketika pengguna membuka aplikasi terbabit.

Berdasarkan satu kenyataan yang dimuat naik oleh Zoom, Ketua Pegawai Eksekutifnya, S Yuan berkata, Zoom menggunakan ciri yang digunakan oleh kit pembangunan perisian (SDK) Facebook untuk peranti yang menggunakan sistem operasi Apple, iOS.

Pada 25 Mac lalu, syarikat pembangun aplikasi berkenaan sedar tentang perkara berkenaan dan usaha untuk meningkatkan keupayaan aplikasi itu sudah dilaksanakan.

Pembangun aplikasi itu memaklumkan bahawa pengumpulan data yang dibuat tidak membabitkan maklumat peribadi pengguna tetapi menjurus kepada jenis peranti digunakan.

Pengguna boleh mengemaskini aplikasi berkenaan menerusi Apple Store untuk menerima versi kemas kini baharu.

“Kita memohon maaf kepada pengguna yang bimbang berhubung isu berkenaan dan kami tetap komited untuk menghormati polisi maklumat peribadi pengguna,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 4:09pm
    d