mutakhir

Orang ramai berkumpul di Istana Anak Bukit

Oleh Aizat Sharif

ORANG ramai sudah mula memenuhi perkarangan Istana Anak Bukit, Alor Setar sejak 8 pagi, hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mangkat, semalam.

Walaupun sesi penghormatan terakhir untuk orang awam hanya bermula pada 11 pagi, kira-kira 300 orang sudah dilihat berada di perkarangan istana kira-kira 10 pagi tadi lengkap dengan pakaian baju Melayu dan bersampin hitam untuk lelaki manakala wanita pula mengenakan baju kurung serta tudung berwarna hitam.

Sebelum itu, jenazah baginda menjalani Istiadat Bersiram iaitu jenazahnya dimandikan kira-kira 8 pagi sebelum dikafankan.

Istiadat menabur cendana kemudian dijalankan kepada jenazah yang dilakukan oleh ahli keluarga dan kerabat baginda pada 9.30 pagi.

Jenazah kemudian akan disembahnyang pada 10.30 pagi sebelum sesi penghormatan terakhir dibuka kepada orang awam pada 11 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

Bagi tetamu kenamaan pula, sesi penghormatan terakhir akan dilakukan pada 12.30 tengah hari sebelum Perisytiharan Keputusan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja untuk Sultan yang baru dilaksanakan pada 1.30 tengah hari.

Jenazah kemudian akan diiring ke Makam DiRaja Jalan Langgar untuk Istiadat Pemakaman pada 4 petang.

Berita berkaitan:

Sultan Kedah mangkat

Disiarkan pada: September 12, 2017 @ 10:33am
d