mutakhir

JKM hulur tangan

Oleh Shaiffulazhar Misri

Alor Gajah: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memantau remaja yang disyaki terbabit dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung Taman Datuk Keramat, Kuala Lumpur, baru-baru ini hingga mengorbankan 23 nyawa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya cuba bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan sebelum mengambil tindakan lanjut yang dianggap wajar selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai melakukan siasatan.

Beliau berkata, pihaknya cuba memastikan mereka tidak terus dipinggirkan masyarakat kerana terbabit dalam aktiviti penagihan dadah dan jika dipinggirkan, mereka akan terjerumus semula ke dunia gelap itu.

“JKM bersama PDRM juga boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa mereka mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak kerana pengabaian tanggungjawab hingga anak masing-masing terjebak dengan dadah.

“Biar polis selesaikan siasatan dulu, kes ini membabitkan kanak-kanak dan kami komited membantu mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Ziarah Kasih Azizah Sempena Bulan Kebajikan Negara Tahun 2017 Peringkat Negeri di Sekolah Kebangsaan Melaka Pindah, di sini, semalam.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 5:24am
d