mutakhir

Ziarah beri sokongan, sumbangan

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Seramai 25 guru termasuk tiga pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah, Padang Terap, Kedah sanggup tidur di dalam van semata-mata mahu menziarahi, sekali gus melihat kesan kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, di sini, selain menyampaikan sumbangan mereka.

Rombongan diketuai Pengetuanyam Mohd Sidek Junus mengambil kesempatan cuti kelepasan am sempena Maal Hijrah untuk melawat pusat tahfiz itu dengan memulakan perjalanan sekitar jam 11 malam kelmarin sebelum tiba di pusat tahfiz itu pada jam 10 pagi semalam.

Mohd Sidek berkata, pihaknya memahami perasaan Pengetua, Mohd Zahid Mahmood serta guru pusat tahfiz itu kerana dua blok sekolah mereka juga pernah terbakar dalam kejadian pada Februari tahun lalu.

Namun, katanya, beban yang ditanggung mereka tidak sehebat pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kerana tidak membabitkan kematian.

“Kami faham perasaan mereka dan tahu beban yang ditanggung mereka lebih berat kerana kebakaran ini menyebabkan kematian. Maka, lawatan kami sebagai tanda sokongan selain sumbangan yang tidak seberapa bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Menurut Mohd Sidek, perjalanan mereka ke Kuala Lumpur semata-mata untuk melawat pusat tahfiz berkenaan sebelum balik semula ke Padang Terap selepas selesai menyerahkan sumbangan.

Sementara itu, lapan individu sanggup bermotosikal dari Pulau Pinang untuk menyerahkan sumbangan kepada pusat tahfiz berkenaan bagi meringankan beban mereka.

Wakil kumpulan itu, Abdul Hafidz Marzuki, 26, berkata, mereka bertolak sekitar jam 7.30 malam kelmarin sebelum tiba di pusat tahfiz jam 3 petang selepas solat Jumaat.

“Sebelum ini kami memang mengikuti perkembangan tragedi menyayat hati ini dan berniat untuk memberi sumbangan kepada pusat tahfiz terbabit.

“Kami tidak berani memindahkan wang menerusi akaun bank, lagi pun rasa tidak puas hati sekiranya tidak dapat melihat sendiri keadaan pusat tahfiz itu walaupun sumbangan kami tidak seberapa, namun sekurang-kurangnya memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati lebih ramai individu datang bersama keluarga selepas solat Jumaat, termasuk dari Johor, Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 4:36am
d