mutakhir

Alhamdulillah... bertambah baik

Oleh Mazizul Dani

MANGSA kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang cedera menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk merawat kulit, hari ini.

Datuk Dr Sharifuddin Musa, 45, berkata, anaknya, Mohammad Shahir, 11, dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan buat kali pertama.

"Shahir masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dalam keadaan baik selepas lebih dua jam pembedahan walaupun terbakar 20 peratus pada bahagian belakang badannya.

"Dia sudah boleh makan tetapi dalam kuantiti yang sedikit dan pihak polis juga sudah mengambil keterangannya Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sharifuddin berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu juga kelihatan gembira ketika menerima lawatan guru dan rakan-rakannya yang terselamat pada Sabtu.

Sementara itu, Nasrun Mat Yusuf, 46, berkata, keadaan anaknya, Zunnun Misri, 15, juga bertambah baik dan menjalani pembedahan memperbaiki kulit yang melecur buat kali ketiga.

"Hari ini dibedah lagi untuk tampal kulit baru memandangkan rawatan untuk kulit terbakar ini memerlukan masa.

"Alhamdulillah, dia dah boleh makan, minum dan senyum. Saya juga berikan kata-kata semangat kepadanya supaya cepat sembuh," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dalam kejadian 5.15 pagi 14 September lalu, adik Zunnun Misri, Muhammad Nizamudin, 13, antara 21 pelajar dan dua warden yang terkorban.

Nasrun bagaimanapun tidak pasti sama ada polis sudah mengambil keterangan anaknya yang melecur 19 peratus itu.

Seorang lagi mangsa yang sebelum ini kritikal dan masih dirawat di ICU ialah Indrakurniawan Mohd Amirul, 11.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: September 25, 2017 @ 3:28pm
d