mutakhir

'Keikhlasan tidak mengira agama atau bangsa...' [METROTV]

Oleh Asrizal Aris

 

"KITA kan manusia, keikhlasan tidak mengira agama atau bangsa," kata G Ashok, 29, seorang daripada pengunjung bukan Islam yang memberi sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung yang terbakar.

Kata Ashok, konsep pemahaman agama adalah bergantung kepada individu, namun niat untuk membantu lahir dalam jiwa setiap manusia.

Ashok yang datang dari Shah Alam berkata, dia mengetahui berita kebakaran pusat tahfiz itu pada malam hari kejadian lalu berhasrat untuk menziarah tahfiz berkenaan selepas simpati dengan mereka yang terbabit dalam tragedi mengorbankan 23 nyawa itu.

"Adik saya meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kereta dan terhidu karbon monoksida dua tahun lepas. Apabila mendengar berita yang dialami oleh anak-anak tahfiz ini, saya turut rasai kesedihan yang menyelubungi keluarga mereka.

"Apabila melihat tingkat tiga bangunan yang terbakar ini, saya boleh nampak anak-anak ini melambai minta tolong dan dengar jeritan mereka," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, soal memberi sumbangan kepada pusat tahfiz itu, baginya rakyat Malaysia tidak ada masalah untuk membantu biarpun berlainan bangsa dan agama.

"Saya pun ada buat kutipan sumbangan dengan rakan-rakan lain yang juga berbilang bangsa dan agama tetapi kita tidak menghebahkan perkara itu kerana kita kena ikhlas," katanya.

Sementara itu, Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmod berkata, sokongan moral yang dizahirkan oleh pengunjung yang hadir melampaui batas agama dan bangsa.

Katanya, dia menganggap perkara itu sebagai satu keajaiban dalam hidup bermasyarakat di Malaysia apabila ada antara yang menziarah dan menyumbang datang dari jauh, golongan berusia, tidak berkemampuan dan berbilang agama.

"Saya perhatikan biarpun mereka ini tiada pertalian dengan keluarga mangsa, namun sifat dan semangat untuk beri sokongan serta membantu terserlah pada raut wajah mereka.

"Syabas saya ucapkan dan ini adalah budaya yang kita mahu tonjolkan sekaligus menunjukkan masih ramai yang prihatin terhadap institusi tahfiz di negara ini," katanya.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

 

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 1:11am
d