mutakhir

'Keputusan mahkamah hanya di dunia' [METROTV]

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: “Apa saja keputusan dibuat mahkamah adalah paling sempurna di dunia manakala di akhirat lain perhitungan Allah SWT,” kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood.

Menurutnya, dia bersyukur sebaik menerima berita beberapa suspek didakwa di mahkamah hari ini, sekali gus menamatkan episod duka di hati keluarga mangsa dan pengurusan tahfiz.

“Kami serahkan kepada pihak berkuasa menentukan hukuman buat mereka, saya tiada apa-apa komen atau saranan kerana percaya negara ini termaktub kepada undang-undang.

“Apa yang berlaku ke atas mereka (ditahan dan didakwa) ditetapkan Allah SWT, mereka perlu hadapi hukuman dunia atas apa yang mereka lakukan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau memaafkan suspek yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan, Mohd Zahid enggan mengulas dan menyerahkan saja kepada undang-undang.

“Secara peribadi, isu maaf atau tidak tidak timbul kerana mereka melakukan kesalahan dan pertuduhan dilakukan. Kita tunggu dan lihat saja,” katanya.

Mohd Zahid turut menegaskan tidak mahu tampil menyaksikan pendakwaan itu kerana sibuk dengan urusan menguruskan tahfiz.

“Saya tiada rasa ke sana (mahkamah), fokus saya mahu membina semula tahfiz dan membina jati diri pelajar dan pengajar selepas tragedi ini,” katanya.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 5:43am
d