mutakhir

MVNA tawar khidmat kaunseling

Oleh Idris Musa

PERSATUAN Jururawat Sukarelawan Malaysia (MVNA) bersedia memberikan rawatan serta nasihat dan kaunseling kepada pelajar dan ibu bapa yang mengalami trauma akibat tragedi kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Presiden MVNA Rozainah Mat Yusoff berkata, pihaknya menawarkan beberapa bentuk perkhidmatan kepada pelajar dan ibu bapa mangsa tragedi, termasuk kakitangan pusat tahfiz itu.

“Contohnya bagi pelajar atau ibu bapa yang mengalami simptom kemurungan dan pihak tahfiz dapat mengenal pasti mereka, boleh terus rujuk kepada kami dan kami akan memberi sokongan penuh.

“Khidmat kami akan berterusan sehingga mereka pulih, insya-Allah. Kami adalah badan kebajikan masyarakat dan sememangnya kami melakukan aktiviti kebajikan kepada masyarakat yang memerlukan," katanya pada majlis penyerahan sumbangan MVNA kepada pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian pada awal pagi 14 September lalu, seramai 21 anak tahfiz dan dua kakitangan pusat tahfiz itu terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat berkenaan yang turut mencederakan tujuh yang lain.

Sementara itu, Pengetua Darul Quran Ittifaqiyah Mohd Zahid Mahmood berkata, atas kesudian MVNA, pihaknya merancang untuk mengumpul ibu bapa dan pelajar dalam satu majlis tahlil di surau berdekatan.

Menurutnya, pada majlis itu ibu bapa dan pelajar dapat berjumpa dengan sukarelawan MVNA dalam suasana ramah mesra.

"Bagi pihak Darul Quran Ittifaqiyah, kami dengan pihak MVNA merancang supaya dapat bersama-sama dengan pihak ibu bapa, waris dan anak tahfiz yang terbabit dalam tragedi ini. Mungkin pada Rabu malam Khamis atau Khamis malam Jumaat ini.

"Maknanya akan disediakan khidmat kaunseling dan nasihat daripada mereka yang memang pakar dalam bidang berkenaan. Malah, mereka bersedia ke rumah mangsa untuk memberi rawatan, sokongan emosi dan spiritual," katanya.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 7:22pm
d