mutakhir

Reman dua anggota TLDM disambung [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

REMAN dua suspek kes dera dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan di Bilik Tahanan Unit, Sungai Wangi di Sitiawan disambung tiga hari lagi.

Dua suspek lelaki berusia 29 dan 37 tahun itu ditahan pada 3 Oktober lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai baju lokap warna jingga tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung kira-kira 9 pagi hari ini dengan menaiki trak polis sebelum keluar dari mahkamah kira-kira sejam kemudian.

Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid membenarkan kedua-dua lelaki terbabit dilanjutkan reman selama tiga hari bermula esok sehingga 9 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Selain dua anggota yang cedera yang kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut, dua lagi anggota TLDM yang ditahan di bilik tahanan berkenaan iaitu Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru dipercayai akibat didera pada 29 September lalu.

Sehingga ini, seramai tujuh anggota TLDM yang bertugas sebagai pengawal bilik tahanan direman dengan lima daripadanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan kematian dua anggota pasukan itu.

Reman kelima-lima suspek kes bunuh terbabit akan tamat esok dan polis dijangka akan turut memohon lanjutan reman terhadap suspek.

Berita berkaitan

2 lagi anggota TLDM dilapor cedera

Mahu keadilan demi cucu

Sihat sebelum masuk bilik tahanan

Reman tujuh hari

Anggota TLDM meninggal disiasat kes bunuh

Kecederaan dalaman juga

Tiba-tiba minta maaf

Isteri kata ada unsur jenayah

Eqiey kata nak berhenti kerja

Tunggu keputusan bedah siasat

Naluri isteri LK 1 Nik Mohd Baihaqy

Anggota TLDM maut latihan fizikal

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 3:30pm
d