mutakhir

[UPDATE] Pengakhiran pilu

Oleh Amrullah Abdul Karim

ZULKAFLI Shaari, 62, yang hilang sejak sembilan hari lalu selepas keluar memancing bersendirian di kawasan hutan Pertak, Kuala Kubu Bharu ditemui meninggal dunia di dalam hutan berdekatan Sungai Selangor, kira-kira dua kilometer dari pusat kawalan bomba (PKB), Pertak, jam 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, mayat mangsa ditemui orang awam yang melakukan operasi mencari bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 1.5 kilometer dari jalan raya di Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser.

Beliau berkata, pasukan penyelamat tiba di lokasi mangsa ditemui jam 1.45 petang sebelum membawa mangsa naik ke atas.

"Keluarga mangsa sudah melakukan pengecaman dan mengesahkan itu adalah ahli keluarga mereka.

"Usaha membawa naik mangsa berjaya dilakukan dan tiba di PKB jam 4.54 petang tadi," katanya.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Katanya, seramai 116 orang membabitkan pihak berkuasa dan orang awam terbabit dalam operasi SAR itu dan ia ditamatkan jam 5.30 petang.

Mangsa yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) keluar dengan menunggang motosikal di sekitar kawasan kampung berkenaan kira-kira jam 3 petang, 27 September lalu.

Bagaimanapun mangsa didapati masih tidak pulang ke rumahnya sebelum kehilangannya dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Motosikal mangsa jenis Modenas ditemui di kawasan Sungai Selangor menghala Bukit Fraser jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu, kira-kira tujuh kilometer dari pusat kawalan bomba.

Berita berkaitan:

Jumpa motosikal orang tak ada

Sempat pesan tolong jaga emak

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 10:17pm
d