mutakhir

Doa bekas guru untuk Kapten Izham

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

BEKAS guru Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB) Kapten Izham Ismail berbangga dengan pelantikannya yang disifatkan amat bertepatan dan layak memegang jawatan itu.

Datuk Mansor Ismail yang pernah mengajar Izham pada 1974 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (STAR), Mergong, Alor Setar berkata, pelantikan Izham itu mampu membawa syarikat penerbangan Malaysia itu ke satu era lain dalam memantap dan mengembalikan zaman kegemilangannya selaras dengan harapan kepemimpinan negara.

Menurutnya, diharapkan beliau dapat memulihkan semula syarikat penerbangan itu dan sekalung tahniah diucapkan kerana menjadi anak tempatan yang menerajui semula MAB selepas sebelum ini dipegang orang luar.

"Saya mendoakan semoga beliau (Izham) berjaya dalam kerjaya sebagai GCEO dan harapan saya semoga beliau membuat yang terbaik demi negara tercinta.

"Siapa sangka produk keluaran STAR ini mampu pergi jauh sehingga menjawat jawatan penting dan menjadi sumber inpirasi kepada pelajar sekolah ini untuk berjaya sepertinya," katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Alumni STAR berkata, Izham yang dulu dipanggil Baam ketika zaman remajanya sempat belajar di sekolah itu sehingga tingkatan tiga sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Teknik Alor Setar sehingga ke tingkatan lima.

"Ketika sekolah dulu, beliau seorang pelajar pintar, beretika tinggi dan fasih bahasa Inggeris malah sering mendapat keputusan cemerlang dalam Matematik.

"Saya masih ingat beliau juga aktif dalam sukan dan ketika itu dia mewakili rumah biru sukan sekolah dengan menyertai larian 100 meter (m), 200 m dan4 x 100 m selain bergiat aktif dalam bola sepak," katanya yang mengajar subjek Sejarah dan Ilmu Kesihatan ketika itu.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) STAR, Azizan Abd Kadir berkata, pelantikan Izham adalah satu penghormatan tinggi dan berbangga bekas pelajar sekolah ini berjaya sehingga ke tahap ini.

"Kejayaannya itu menjadi inspirasi kepada pelajar sekolah ini dan boleh menjadi ikon kepada mereka.

"Saya berharap lebih ramai pelajar lahir dari sekolah ini akan berjaya seperti beliau," katanya.

Jumaat lalu, Izham dilantik sebagai GCEO syarikat penerbangan itu berkuatkuasa serta-merta.

Izham yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dilantik bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Pemulihan MAS (MRP).

Izham memiliki pengalaman 38 tahun dalam industri penerbangan dan memulakan kerjaya sebagai juruterbang Malaysia Airlines pada 1979.

Berita berkaitan:

Izham dilantik GCEO MAB

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 4:45pm
d