mutakhir

Lega...bebas selepas ditahan lima hari [METROTV]

Oleh Fardy Bungga

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu Datuk Mohd Yusuf Apdal dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Mohd Yusof, 57, dibebaskan selepas ditahan reman sejak Rabu lalu berhubung siasatan penyelewengan dana awam membabitkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Majistret Cindy Mc Juce Balitus yang membuat keputusan itu turut membenarkan Mohd Yusof dijamin sebanyak RM100,000 dengan deposit RM50,000.

Beliau yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada kira-kira jam 9.40 pagi, sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret pada jam 9.55 pagi dan keluar kira-kira 10 minit kemudian.

Mohd Yusof diwakili peguam Edward Paul dan Peter Lee manakala SPRM diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.

Setakat ini, SPRM sudah menahan 13 individu berkaitan kes berkenaan, masing-masing 10 di Sabah dan tiga di Putrajaya.

Antara yang ditahan dan sudah dibebaskan sebelum ini, Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; dan Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim dan ahli perniagaan berumur 52 tahun.

Tiga lagi masih dalam tahanan reman adalah seorang jurutera berusia 47 tahun, manakala dua lagi ialah bekas Setiausaha Akhbar dan Setiausaha Politik Mohd Shafie.

Berita berkaitan:

Yusof direman empat hari [METROTV]

Reman Yusof Apdal disambung [METROTV]

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 10:58am
d