mutakhir

Tumpu lokasi Jong-nam dibunuh

Oleh Sarah Zulkifli

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hari ini menjadi tumpuan petugas media, apabila dua tertuduh wanita dibawa ke lokasi kejadian pembunuhan lelaki Korea Utara, Kim Chol (atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam).

Selain media tempatan, media asing antaranya dari Korea, Jepun dan Indonesia tiba sejak awal pagi untuk melihat lokasi kejadian Kim Chol didakwa dibunuh dua wanita menggunakan racun agen saraf VX di Balai Pelepasan klia2.

Kedua-dua tertuduh, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, tiba di klia2 pada 9.50 pagi.

Mereka yang memakai baju kurung dan vest hitam polis diiringi serta dikawal ketat sepasukan polis.

Manakala Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin tiba pada waktu sama.

Turut berada di klia2 bagi prosiding itu, barisan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad dan barisan pembelaan serta saksi pendakwaan kesembilan, Asisten Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

Lawatan dimulakan dengan melihat kiosk daftar masuk, iaitu tempat Jong-nam dipercayai disapu dengan racun agen saraf VX oleh dua tertuduh wanita itu di Aras 3.

Kesemua pihak juga dijangka melawat Klinik Perubatan Menara di Aras 2, iaitu tempat Jong-nam menerima rawatan selepas terkena racun agen saraf itu.

Mengikut pertuduhan, Aisyah dan Doan didakwa bersama empat orang lagi yang masih bebas, membunuh Jong-nam di KLIA2 pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukumen mati mandatori jika sabit kesalahan.

Petugas media mula memenuhi balai pelepasan klia2 itu seawal 6 pagi dan turut dikawal ketat puluhan anggota polis bertugas.

Bagaimanapun, hanya 40 wakil media diberi kebenaran untuk membuat liputan prosiding perbicaraan itu.

Berita berkaitan:

Pembunuhan Jong Nam

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 4:24pm
d