mutakhir

Bantu mereka bukan pembaziran

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

KERAJAAN Melaka menegaskan peruntukan RM10,000 untuk membaiki rumah dihuni 11 beranak di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai, bukan satu pembaziran seperti didakwa netizen yang turut melabel mereka sebagai pemalas.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, bantuan segera dihulurkan adalah tanda prihatin kerajaan dalam memastikan institusi kekeluargaan di negeri ini sentiasa dalam keadaan utuh.

"Jadi jangan salah anggap kerajaan Melaka membazirkan wang untuk bantu orang malas, bantuan dihulurkan adalah demi memastikan masa depan anak-anak yang masih kecil terbela.

"Mengenai sikap penghuni rumah itu, tak perlu diperbesarkan, saya percaya mereka juga tidak mahu situasi seperti itu berlaku," katanya selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka Tengah, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri, Abd Razak Abu.

Sementara itu, Abd Razak berkata, kerja membaik pulih kediaman itu seperti mengecat, menggantikan tingkap dan kemudahan lain di dapur serta tandas membabitkan kos tinggi.

“Tapi apa yang lebih penting kita nak bantu anak-anak itu. Dengan keadaan rumah tak terurus, nak cari baju sekolah pun tak jumpa, kita wajib bantu tak boleh lepas tangan begitu saja.

"Keluarga terbabit akan terus dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dibantu Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dan juga orang ramai demi memastikan perkara sama tidak berulang lagi," katanya.

Abd Razak berkata, masyarakat tidak boleh terus menghukum atau mengecam keluarga terbabit, sebaliknya bersama-sama membantu mereka agar berubah.

“Kita kena faham mungkin ibu tunggal ini mengalami tekanan memandangkan dia baru berpisah dengan suami dan perlu jaga anak kecil termasuk bayi.

“Rumah itu juga agak padat kerana dihuni 11 orang. Berikutan itu kami turut guna pendekatan kaunseling untuk bantu keluarga ini,” katanya.

Berita berkaitan

'Kami sampai malu nak keluar...'

'Saya tak larat nak kemas'

Disiarkan pada: October 27, 2017 @ 8:09pm
d