mutakhir

Kalau jumpa beritahu polis

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS ingin mencari lelaki dipercayai pemandu treler bagi membantu siasatan kemalangan maut di KM270.3 lebuh raya PLUS, arah selatan, dekat Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, semalam.

Ketua Polis Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata lelaki terbabit dikenali sebagai P Kanes, 29, berasal dari Bukit Rotan, Selangor.

“Polis menerima maklumat awam mengenai lelaki itu yang dipercayai memandu treler ketika kejadian dan melarikan diri.

“Sehingga ini, usaha mengesannya sedang giat dijalankan. Kami meminta supaya dia tampil sendiri ke Balai Polis Nilai untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Perundangan Trafik IPD Nilai, Asisten Superintendan Mohammad Nasrun Ab Rahman di 019-3468170 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syafiq Azmy (014-5082450) atau Balai Polis Nilai (06-7991222).

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, treler tanpa muatan dari arah Seremban ke Nilai itu dipercayai hilang kawalan lalu.

Ia terbabas, memasuki laluan bertentangan dan merempuh Perodua Alza dinaiki suami isteri.

Mangsa, Lau Lian Huat, 62, dan Lim Ah Gim, 60, maut di tempat kejadian.

Kemalangan turut menyebabkan kecederaan ke atas pemandu dan penumpang Proton Preve, Azian Saleh, 45, dan Abdul Rahim Ramlee, 52, serta pemandu Waja, Mohammad Tahir Othman, 51.

Berita berkaitan

Di mana pemandu treler?

Ajal suami isteri

Disiarkan pada: October 28, 2017 @ 2:57pm
d