mutakhir

'Saya perlu kuat...'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

"BUKAN mudah untuk melupakan mereka bertiga dan saya juga pasti mereka juga tidak mahu saya terus bersedih atas kehilangan mereka," kata Mashawani Mohamed Shahid, 37, ibu kepada tiga beradik, Muhd Harris Ikhwan, 10; Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13, yang maut dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Dato Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

Mashawani bersama waris dan ahli keluarga 22 mangsa yang maut dalam tragedi sama ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah oleh Jabatan Peguam Negara.

Sumbangan berjumlah RM32,500 itu diserahkan sendiri oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mana setiap waris mangsa yang meninggal dunia menerima sebanyak RM1,400 setiap seorang.

Mashawani ketika ditemui berkata, dia akui tidak boleh duduk sendirian selepas kejadian itu sebaliknya kerap menyertai perjumpaan bersama ahli keluarga dan waris mangsa yang lain bagi melepaskan kerinduan dan berkongsi kesedihan.

"Saya juga kena akui yang pergi tetap pergi, yang masih hidup mesti kena teruskan kehidupan. Saya masih ada tiga lagi anak untuk dijaga dan dipelihara. Justeru, saya perlu kuat.

"Orang lain nampak saya kuat namun, mereka tidak tahu apa yang saya rasa sebenarnya. Saya juga pasti anak-anak (arwah) pun tak (tidak) mahu tengok saya sedih atas pemergian mereka," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan pembahagian sumbangan RM7.6 juta yang diterima pusat tahfiz oleh orang awam, Mashawani berkata, pihaknya difahamkan, sumbangan berkenaan masih di peringkat juruaudit.

"Saya tidak mahu pertikaikan pembahagian sumbangan itu tetapi, saya yakin mereka (pengurusan pusat tahfiz) patut tahu apa yang perlu mereka lakukan pada sumbangan itu.

"Bagi saya, ada duit atau tiada duit...ia tiada beza. Kalau ada duit di tangan sekali pun, saya tetap sunyi. Kalau mereka masih ada, boleh juga belanja mereka (arwah) makan," katanya.

Sebelum ini, Pengetua pusat tahfiz berkenaan, Mohd Zahid Mahmood memaklumkan pihaknya sudah melantik peguam dan juruaudit untuk menentukan cara pembahagian sumbangan yang diterima orang ramai kepada semua pihak yang terbabit dalam kejadian kebakaran itu.

Menurutnya, pihaknya menyerahkan perkara itu (pembahagian) kepada pihak dilantik bagi memastikan ia tidak menimbulkan persoalan dan isu pada masa depan.

Sementara itu, Mohamed Apandi berkata, beliau secaara peribadi tersentuh hati dengan tragedi menimpa dua tenaga pengajar dan 21 anak-anak tahfiz yang maut itu dan ia memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, bagi mengurangkan beban ahli keluarga, pihaknya menerusi Kelab Kebajikan dan Rekreasi Jabatan Peguam Negara mengambil inisiatif melancarkan tabung kutipan itu di pejabat-pejabat Jabatan Peguam Negara di seluruh negara.

"Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu ahli keluarga dan waris mangsa melalui detik-detik mencabar ini," katanya.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 6:51pm
d