mutakhir

Banjir beransur pulih

Oleh BERNAMA

KEADAAN banjir di Pulau Pinang beransur pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan semakin berkurangan pagi ini.

Sehingga 6 pagi, 3,482 orang daripada 914 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan berbanding 5,729 orang daripada 1,445 keluarga malam tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata semua mangsa banjir itu ditempatkan di 25 pusat pemindahan di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

"Seramai 2,588 orang berada di 13 pusat pemindahan di daerah SPU manakala 894 orang lagi di 12 pusat pemindahan di SPT," katanya di Georgetown, hari ini.

Cuaca di Pulau Pinang pagi ini cerah.

Sementara itu, tinjauan mendapati penduduk yang telah pulang ke rumah mereka mula membersihkan rumah masing-masing dengan dibantu sukarelawan seawal 7 pagi.

Mereka berharap lebih ramai sukarelawan dapat membantu penduduk kerana keadaan selepas banjir lebih teruk berbanding ketika air sedang naik malah rumah dipenuhi sampah dan lumpur.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lalu yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di lima pusat pemindahan di tiga daerah di Kedah berkurangan kepada 342 mangsa daripada 87 keluarga pagi ini berbanding 373 mangsa daripada 94 keluarga malam tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata, satu pusat pemindahan di Dewan Kampung Bujang, Merbok yang menempatkan 29 mangsa daripada enam keluarga telah ditutup.

“Sehingga 8 pagi ini, dua pusat pemindahan masih aktif di Kuala Muda iaitu di Dewan Kampung Sungai Pial, Merbok yang menempatkan enam mangsa daripada tiga keluarga dan Dewan Setia Budi, Pekula (55 mangsa, 13 keluarga).

"Bagi daerah Kulim pula, dua pusat pemindahan masih beroperasi iaitu di Surau Kampung Baru Jemerli, Merbau Pulas (31 mangsa, enam keluarga); dan Surau Teluk Binu, Sidam Kanan (42 mangsa, 11 keluarga)," katanya.

Menurutnya, di daerah Pendang, satu pusat pemindahan masih dibuka iaitu di Mukim Guar Kepayang yang menempatkan 208 mangsa daripada 54 keluarga.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Disiarkan pada: November 8, 2017 @ 11:50am
d