mutakhir

Arwah teruja dapat tilam

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

“SEHARI sebelum majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir itu, arwah kelihatan begitu teruja dan tidak sabar untuk menerima sumbangan tilam," kata Shahida Ismail, 26, mengenai bapanya, Ismail Ahmad, 71, yang meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam (HBM) selepas terjatuh ketika ingin mengangkat tilam yang diterima dalam program bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Permatang Rawa, Bukit Mertajam, petang semalam.

Shahida berkata, arwah ibunya meninggal dunia enam tahun lalu dan selepas pemergian bapanya semalam, mereka kini tinggal empat beradik saja berusia antara 26 hingga 47 tahun.

"Sebelum ini, arwah bapa kerap menonton siaran berita di televisyen memaparkan ramai mangsa banjir menerima bantuan barangan asas terutama tilam. Perkara itu membuatkannya teruja untuk menerima sumbangan tilam itu.

"Disebabkan terlalu teruja, arwah tidak sabar untuk membawa balik tilam itu sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain dengan menunggang motosikal dan ketika kejadian, kami semua keluar bekerja," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Masjid Tengah, Berapit, Bukit Mertajam, hari ini.

Shahida berkata, arwah bapanya tidak mempunyai sebarang penyakit dan sikapnya yang suka bergaul dengan orang kampung membuatkannya mudah dikenali dengan panggilan 'Pak Aq'.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Saiful Azmir Muhamad, 35, berkata, dia turut berada di majlis penyampaian sumbangan itu ketika kejadian, sekali gus menyaksikan sendiri bapa saudaranya terjatuh dari motosikal.

Menurutnya, dalam majlis terbabit, dia sempat melihat wajah arwah bapa saudaranya kelihatan pucat selepas menerima sumbangan barangan keperluan asas dan tilam.

"Selepas terjatuh, arwah diletakkan di atas tilam diterimanya semasa menerima rawatan bantuan pernafasan (CPR)," katanya.

Arwah yang berasal dari Kampung Paya, Tanah Liat, Bukit Mertajam menghadiri majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Difahamkan, arwah secara tiba-tiba terjatuh dari motosikalnya sebelum pengsan dan diberi rawatan kecemasan oleh seorang jururawat yang kebetulan melalui kawasan itu.

Orang ramai termasuk Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Abdul Aziz Shaik Ahmad dan beberapa kakitangan KKLW memberikan bantuan kepadanya dan kemudian dibawa ke HBM menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia pada 4.15 petang dan jenazahnya dikebumikan 10 pagi hari ini.

Berita berkaitan:

Ajal tiba selepas terima bantuan

Disiarkan pada: November 15, 2017 @ 4:00pm
d