mutakhir

Mangsa banjir Terengganu bertambah lagi

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

JUMLAH mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 1,856 orang daripada 686 keluarga sehingga 6 petang, hari ini berbanding 1,173 orang daripada 354 keluarga, 12 tengah hari tadi.

Sehingga kini, 42 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka di enam daerah iaitu Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu, Marang dan Kuala Nerus.

Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri, daerah Hulu Terengganu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 820 orang daripada 366 keluarga di 20 PPS.

Ia diikuti dengan daerah Setiu yang mencatatkan 421 orang daripada 110 keluarga di lapan PPS berbanding 339 orang daripada 74 keluarga di enam PPS.

Selain itu, jumlah mangsa di Dungun menunjukkan sedikit penurunan apabila mencatatkan 154 orang daripada 44 keluarga di tiga PPS berbanding seramai 160 mangsa daripada 42 keluarga di lima PPS di Dungun.

Di Besut, jumlah mangsa meningkat kepada 267 orang daripada 113 keluarga di tiga PPS berbanding 116 orang daripada 31 keluarga di dua PPS.

Jumlah mangsa di daerah Marang turut meningkat kepada 68 orang (21 keluarga) di enam PPS berbanding hanya 51 orang (12 keluarga) ditempatkan di tiga PPS.

Mangsa banjir di Kuala Nerus turut meningkat kepada 126 orang (32 keluarga) di dua PPS berbanding 10 mangsa daripada dua keluarga.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Disiarkan pada: November 28, 2017 @ 8:34pm
d