mutakhir

Seorang lagi remaja bebas tuduhan dadah

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan seorang lagi remaja yang sebelum ini ditahan berhubung kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, September lalu.

Majistret Umzarul An Nur Umar memutuskan terhadap Mohamad Shahrul Nizam Ikmal Shafi-in, 18, selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka menarik balik pertuduhan berikutan laporan patologi dari Makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan bacaan negatif.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa manakala tertuduh diwakili peguam Ram Karpal Singh.

Mohamad Shahrul didakwa atas dua pertuduhan memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas Pejabat Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 11.35 pagi, 16 September lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 5.15 pagi, 14 September lalu, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mengaku salah ambil ganja

Pendakwaan tarik balik kes berkaitan dadah

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 1:20pm
d