mutakhir

Bomba negeri lain akan bantu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BANTUAN aset dan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berhampiran Kelantan akan dikerah sekiranya keadaan banjir semakin buruk.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, langkah itu diambil untuk memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir berjalan lancar.

"Bagaimanapun kini keadaan masih terkawal dan JBPM Kelantan dengan kerjasama agensi lain dapat menjalankan tugas dengan baik.

"Sekiranya diperlukan, kita akan mengarah JBPM antaranya di Perak, Negeri Sembilan serta Pahang menghantar bantuan seperti anggota, lori pengangkut dan bot penyelamat secepat mungkin untuk membantu operasi menyelamat,

"Saya syorkan mungkin di Kelantan memerlukan 20 hingga 30 lori untuk tujuan mengangkut mangsa banjir di sekitar daerah, " katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, hari ini.

Menurutnya, sebagai persiapan awal menghadapi banjir, pihaknya sudah menempatkan anggota di lokasi kerap banjir.

'Kita mengambil kira pengalaman banjir 2014 dengan menyediakan penempatan strategik termasuk menyediakan peralatan kepada beberapa balai di Tanah Merah dan Kuala Krai yang dinaiki air dalam bencana besar itu.

"Lebih ramai anggota, bot dan lori ditempatkan di kawasan Kuala Krai dan Dabong supaya dapat menjalankan operasi segera tanpa menunggu bantuan luar jika banjir berlaku secara mendadak di kawasan itu," katanya.

Mengulas lanjut, Soiman berkata, JBPM juga menetapkan tempoh masa 10 minit atau kurang untuk pihaknya bertindak balas terhadap sebarang maklumat kecemasan berkaitan mangsa banjir kali ini.

' Pada masa sama, saya mohon penduduk beri kerjasama kepada agensi penyelamat untuk berpindah

"Kita tidak mahu apabila paras air sudah tinggi, baru kita dihubungi. Ini kerana, dalam keadaan hujan lebat serta arus air deras menyukarkan penyelamat tiba ke tempat mangsa sekali gus melambatkan proses menyelamat dan bahayakan mereka," katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Disiarkan pada: November 29, 2017 @ 5:30pm
d