mutakhir

Waspada gelombang kedua banjir

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

PENUTUPAN semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Machang, hari ini, tidak bermakna ia bebas sepenuhnya daripada banjir.

Sebaliknya, penduduk perlu lebih berwaspada untuk menghadapi gelombang berikutnya.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abd Ghani berkata, sejak semalam, semua mangsa banjir sudah mula pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir yang surut.

"Tujuh PPS dibuka sepanjang lima hari lalu selepas hujan lebat berterusan sehingga beberapa kawasan ditenggelami air. Namun sejak semalam, PPS ditutup secara berperingkat apabila banjir beransur pulih.

"PPS terakhir ditutup hari ini di Sekolah Kebangsaan(SK) Pulai Chondong, 12.30 tengah hari tadi," katanya ketika ditemui di PPS SK Pulai Chondong, Machang hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati penduduk untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

"Hujan seperti ini kemungkinan berlaku lagi. Kita baru melepasi gelombang pertama dan untuk gelombang seterusnya, diminta sentiasa berwaspada. Jadikan apa yang berlaku sebagai iktibar.

"Saya menyeru orang ramai supaya membuat persiapan awal dan sekiranya air naik serta diminta berpindah, perlulah berpindah segera ke tempat yang sudah disediakan," katanya.

Sementara itu, mangsa banjir, Siti Hasni Che Mat, 44 berkata, rumah keluarganya di Bandar Sri Aman dinaiki air dan pemindahan ke PPS menjadi 'percutian' yang tidak akan dilupakan buat keluarganya.

Dia yang tinggal di Padang Terap, Kedah pulang ke kampung untuk bercuti bersama keluarga.

"Niat balik bercuti nak pergi jalan-jalan. Tak sangka selepas sampai kampung Jumaat lalu, keesokan harinya terpaksa berpindah ke PPS kerana air naik dekat semeter

"Terpaksa kami lima beranak bercuti di PPS saja. Namun, ia tetap menjadi pengalaman seronok yang tidak akan kami lupakan, "katanya.

Menurutnya, dia berasa lega selepas dapat kembali ke rumah apabila banjir yang melanda semakin pulih semalam.

Selain Machang, tiga lagi jajahan menutup PPS iaitu Jeli, Bachok dan Kuala Krai.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Disiarkan pada: November 30, 2017 @ 7:26pm
d