mutakhir

Bantuan awal

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menggunakan lima perahu panjang bagi menghantar barangan keperluan harian seberat 11.6 tan ke lima pangkalan hadapan di Hulu Tembeling, Jerantut, kelmarin.

Lima pangkalan hadapan terbabit ialah Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling yang diuruskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing.

Pengarahnya Zulkhairi Zainol Abidin berkata, sembilan jenis barangan seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan kopi disediakan dan mampu bertahan selama seminggu sebelum bantuan susulan dihantar.

Katanya, JKM perlu bertindak segera mengagihkan barangan keperluan harian ke pangkalan hadapan masing-masing lima di Hulu Tembeling dan lima di Pulau Tioman sebelum bencana banjir berlaku.

Katanya, barangan keperluan harian seberat 21 tan yang mampu bertahan selama seminggu sudah dihantar ke lima pangkalan hadapan di Pulau Tioman, minggu lalu, menggunakan bot kargo di jeti Tanjung Gemok, Rompin.

“Kita dalam proses menghantar bantuan kepada 116 pangkalan hadapan di negeri ini yang dilakukan secara berperingkat menggunakan pengangkutan darat. Kini hanya tinggal beberapa pangkalan hadapan belum menerima bantuan.

“Bekalan keperluan harian di pangkalan hadapan digunakan hanya ketika perhubungan terputus disebabkan laluan ke kawasan terbabit ditenggelami banjir selain tanah runtuh dan makanan yang disediakan hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja.

“Hanya 10 pangkalan hadapan di Pulau Tioman dan Hulu Tembeling sahaja dapat bertahan selama seminggu, ini disebabkan masalah perhubungan yang agak jauh untuk penghantaran susulan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan semua pangkalan hadapan di negeri ini akan menerima bekalan secara berperingkat sebelum banjir melanda.

Zulkhairi berkata, pihaknya tidak boleh terlalu awal mengagihkan barangan keperluan harian ke setiap pangkalan hadapan kerana tindakan itu boleh menyebabkan barangan terbabit rosak hingga tidak dapat digunakan apabila banjir berlaku.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 8:40am
d