mutakhir

Resah 9 kucing di rumah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Percutian lima sekeluarga di Sabah terganggu apabila memikirkan nasib sembilan ekor kucing selepas kediaman di Taman Desa Tanjung Damai, di sini, dinaiki air akibat hujan berterusan.

Menurut Abdul Malik Muhamad, 41, dia yang bercuti di Sabah sejak Selasa lalu bersama isteri dan tiga anak mula tidak senang duduk selepas melihat laporan banjir menerusi aplikasi WhatsApp yang dikongsi jiran.

Katanya, dia yang baru tiba dari Sabah jam 8.30 pagi kelmarin terkejut apabila rumah sudah dinaiki air sehingga 0.5 meter.

“Memang tidak sangka air memasuki rumah memandangkan pada banjir awal tahun ini kediaman tidak dinaiki air.

“Lebih menyedihkan apabila seekor daripada sembilan ekor kucing lemas akibat banjir,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

Isterinya, Norma Ramli, 36 berkata, pemeriksaan mendapati beberapa ekor kucingnya berada di siling rumah mereka.

“Memang sedih melihat keadaan kucing-kucing peliharaan kami kerana selain kesejukan, ia ketakutan dan kelaparan,” katanya.

Abdul Malik berkata, dia kemudian meminta bantuan pasukan penyelamat untuk menyelamatkan dua kucing yang terperangkap selama empat hari di siling rumah.

Katanya, lapan anggota Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Kem Seberang Takir bersama empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil masa 15 minit untuk menyelamatkan dua ekor kucing itu.

“Terima kasih kepada pasukan penyelamat yang sanggup menyelamatkan haiwan peliharaan kami sekeluarga dalam kesibukan mereka membantu menyelamatkan mangsa banjir yang lain,” katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 10:56am
d