mutakhir

Banjir kembali di Terengganu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BANJIR kembali melanda Terengganu apabila 240 orang daripada 58 keluarga dipindahkan ke satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman, sehingga 11 pagi, hari ini berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Semua mangsa termasuk 16 bayi ditempatkan di Dewan Pusat Latihan Darul Iman, Kemaman, yang dibuka sejak 8.30 pagi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkata, hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan air naik sehingga lebih 0.3 meter.

"Sehingga 11 pagi tadi, 240 mangsa sudah dipindahkan dan kita menjangkakan jumlah itu akan bertambah kerana keadaan cuaca yang kerap hujan di Kemaman ketika ini.

"Bagaimanapun, banjir ini bukan disebabkan limpahan sungai tetapi kerana aliran air yang tidak lancar di beberapa kawasan," katanya.

Sementara itu portal publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu mencatatkan bacaan 20.68 meter melebihi paras amaran 20.50 meter.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Disiarkan pada: December 8, 2017 @ 1:27pm
d