mutakhir

Semoga roh mereka dicucuri rahmat إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

TIGA beradik yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Kuala Kangsar- Gerik berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lenggong, Gerik, semalam, selamat dikebumikan, hari ini.

Jenazah pasangan kembar Muhammad Hanif Ismail dan Nur Ain Hanifah yang masing-masing berusia lapan tahun serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari.

Mereka dikebumikan dalam satu liang lahad selepas dibawa dari Hospital Gerik kira-kira jam 2 pagi, hari ini.

Menurut ibu saudara mereka, Ramelah Yaakob, 54, jenazah semua anak saudaranya itu dikebumikan di kawasan berkenaan kerana ibu mereka berasal dari Kuantan.

“Saya bertolak dari Dungun pada 7 pagi untuk menghadiri pengebumian mereka. Agak terkilan saya tak sempat tengok mereka tiga beradik terutama dua beradik kembar itu kerana mereka rapat dengan saya.

“Tak tahu perasaan saya bagaimana kerana memang terkejut dengar berita ini semalam. Seakan tidak percaya pun ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian tiga beradik berkenaan.

Dalam kejadian 11 pagi itu, tiga beradik berkenaan maut manakala bapa serta ibu mereka, Ismail Yaacob, 53, dan Zarina Yong, 44, parah manakala seorang lagi adik beradik mereka, Nur Ain Harizah, 13, cedera.

Kemalangan dikatakan berlaku selepas sebuah treler dari arah Gerik ke Kuala Kangsar dipercayai mempunyai masalah brek melanggar empat kenderaan termasuk kenderaan dinaiki mangsa yang berhenti di lampu isyarat simpang empat berhampiran MRSM Lenggong.

Ramelah berharap adik lelakinya dan isteri yang sedang dirawat di Hospital Taiping segera sedarkan diri dan dia merancang melawat mereka di hospital itu, hari ini.

Berita berkaitan

Kembar, kakak, macam anak sendiri [UPDATE]

Nampak treler seret Nissan Sentra [UPDATE]

[UPDATE] Pasangan kembar antara yang maut

Tiga maut kemalangan tiga kenderaan

Disiarkan pada: December 11, 2017 @ 1:59pm
d