mutakhir

[UPDATE] 'Sarjan Faiz' akan didakwa lusa

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

LELAKI menyamar 'Sarjan Faiz' yang melarikan gadis berusia 17 tahun dari rumahnya di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, 27 Disember tahun lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Raub, Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 32 tahun dari Taman Bukit Indah, Bentong, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 365

dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, suspek akan turut dituduh mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960," katanya ketika dihubungi di Raub.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kehilangan Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi selepas dia dikatakan dibawa suspek terbabit konon untuk membantu mengambil motosikal yang dibeli di pekan Sungai Ruan dengan meminta izin kepada ibu mangsa di rumahnya kira-kira 11 pagi pada 27 Disember tahun lalu.

Pada 3 petang hari sama, Nur Syaminn menghubungi ibunya, Wan Maziah Wan Mat, 38, memaklumkan dia berada di Gua Musang, Kelantan, bersama suspek mengaku anggota Balai Polis Sungai Ruan itu sebelum talian dimatikan.

Gadis berkenaan kemudian ditemui selamat di stesen bas di bandar ini pada 11.05 pagi, 29 Disember selepas menaiki bas dari Kuala Lumpur dan dibawa polis untuk siasatan lanjut.

Selepas 10 hari menjadi buruan, suspek terbabit akhirnya diberkas Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman di dalam kereta di depan hotel di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh, Perak, 2.05 pagi 6 Januari lalu.

Dia kemudian dibawa ke IPD Raub untuk siasatan lanjut.

Berita berkaitan

‘Sarjan Faiz’ suspek kes cabul juga

'Sarjan Faiz' ajak kawin, kebas barang kemas

'Sarjan Faiz' kena cekup depan hotel

Bala dah dekat dah 'Sarjan Faiz'!

Naik bas pulang ke Raub

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 10:19pm
d