mutakhir

Siasat menyebab kematian juga

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

DUA beradik yang meragut suri rumah di Kampung Sri Rebana, Machang, 10 Januari lalu turut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sebelum ini, kedua-duanya yang berusia 14 dan 26 tahun disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, mangsa, Maria Erianty Zakaria, 40, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, 9.25 pagi tadi, selepas lapan hari koma.

"Perkembangan terbaru itu menyebabkan siasatan ditambah kepada Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ia berdasarkan fakta kes yang mana mangsa terjatuh dari motosikal ketika kejadian dan bukan dijatuhkan.

"Malah, mangsa juga sempat mengejar suspek sejauh dua kilometer dengan motosikal sebelum terjatuh," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dzulkifli berkata, suspek berusia 26 tahun yang tamat reman, semalam disambung reman sehingga Ahad (21 Jan) untuk siasatan kes pecah rumah dan lain-lain jenayah.

Manakala, adiknya yang tamat reman hari ini, akan disambung reman empat hari lagi untuk kes pecah rumah.

Pada 6.30 petang, 10 Januari lalu, Maria Erianty koma selepas terjatuh motosikal akibat diragut dua beradik di Kampung Sri Rebana, Machang.

Dia parah di kepala dan menjalani beberapa pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, namun disahkan meninggal dunia hari ini.

Berita berkaitan:

Pilu... mangsa ragut pergi jua

Wanita koma angkara peragut adik beradik

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 3:19pm
d