mutakhir

Bukan angkara sekatan jalan raya

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS mengesahkan operasi sekatan jalan raya (SJR) berdekatan lokasi kemalangan tujuh kenderaan di Kilometer 41.3 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Kulai tengah malam semalam dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata jarak sekatan jalan raya dengan kawasan kemalangan membabitkan tujuh kenderaan.

"Kemalangan berlaku dalam 500 meter dari SJR. Kawasan berkenaan cerah dengan lampu jalan.

"Operasi di buat mengikut SOP dan kes masih dalam siasatan, selain menyiasatnya dari semua aspek termasuk keadaan kenderaan terbabit," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan netizen berhubung kemalangan itu, beliau mahu tuduhan tidak berasas itu dihentikan.

"Saya minta netizen jangan membuat tohmahan tidak berasas dengan mengatakan punca kemalangan disebabkan operasi polis," katanya.

Sementara itu dalam kejadian awal pagi semalam, seorang lelaki maut, manakala lapan yang lain cedera selepas tujuh kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer 41.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat Kulai, semalam.

Kejadian 12.50 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Haziq Arshad, 25, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulai.

Dalam kemalangan sama, dua kanak-kanak cedera termasuk seorang daripadanya dikenali sebagai Alishah Norpipah Abd Rahman, 3, patah paha dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Berita berkaitan:

1 maut, 8 cedera, nahas 7 kenderaan

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 12:15pm
d