mutakhir

Rakan Mohamad Haniff didakwa [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Gerik, hari ini, atas pertuduhan dengan cuai melepaskan tembakan menggunakan senapang patah sehingga menyebabkan kematian rakannya kawasan Hutan Sungai Tera, di sini, pada 18 Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Fitri Osman, 26, yang bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fitri didakwa melepaskan tembakan menggunakan selaras senapang patah dengan cuai yang tidak terjumlah menyebabkan kematian Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di dalam kawasan Hutan Sungai Tera, Lebuhraya Gerik-Kupang di sini, 10.30 malam pada hari berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-keduanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Azfar bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi menunggu keputusan bedah siasat, sampel asid deosiribonukleik (DNA) dan perubatan.

Raja Shahril Anuar kemudiannya menetapkan 2 April ini sebagai sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, seorang lagi rakannya, Muhammad Azaili Alias, 31, yang didakwa secara berasingan turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki selaras senapang patah serta memiliki 19 peluru hidup dengan menyalahi undang-undang.

Muhammad Azaili didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di lokasi sama antara 7.30 hingga 10.30 malam dan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Raja Shahril Anuar kemudiannya menetapkan 2 April sebagai sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes itu.

NSTP sebelum ini melaporkan mayat Mohamad Haniff ditemui dalam keadaan terbaring dalam hutan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Jalan Kupang, Gerik, di sini, 22 Februari lalu.

Mangsa yang dipercayai tidak pulang ke rumah sejak lima hari lalu ditemui orang awam kira-kira 4 petang.

Hasil bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan parah di kepala mangsa dipercayai akibat kesan tembakan dan ditinggalkan di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Awat la buat lagu tu'

'[UPDATE] Tiga ditahan tembak 'kijang''

'Adik suka pikat burung'

Jumpa mayat dalam hutan

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 2:56pm
d