mutakhir

[UPDATE] 130 pendaki turun malam ini

Oleh Suzianah Jiffar; Junaidi Ladjana; Mohd Izham Unnip Abdullah dan Avila Geraldine

SERAMAI 130 pendaki Gunung Kinabalu yang kini berada di Laban Rata akan dibawa turun malam ini susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter berpusat di Ranau, 9.06 malam tadi.

Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais ketika dihubungi, berkata beliau mengarahkan pasukannya untuk melaksanakan kerja menyelamat serta membawa turun semua pendaki terbabit.

“Pemeriksaan sedang dijalankan di Gunung Kinabalu bagi mengetahui kesan gegaran akibat gempa bumi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, pula berkata aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu digantung sementara susulan gempa bumi sederhana di Ranau.

Dalam pada itu, Pengerusi Malim Gunung Kinabalu Junaydie Sihan ketika dihubungi berkata, maklumat awal daripada petugas di Gunung Kinabalu menyatakan keadaan semasa dilaporkan selamat.

“Semua pendaki sudah diminta berkumpul di tempat selamat," katanya.

Malim Gunung Richard Soibi berkata, pihaknya bersedia untuk membantu operasi menyelamat sekiranya berlaku kemalangan di Gunung Kinabalu akibat gempa bumi berkenaan.

“Semua bimbang apabila berlaku gegaran yang agak kuat tadi. Namun setakat ini belum ada maklumat berkaitan kemalangan membabitkan pendaki dan malim gunung.

“Kami semua menunggu berita dari gunung mengenai keadaan di sana," katanya.

Berdasarkan maklumat kakitangan Taman-Taman Sabah, pengosongan kecemasan dijalankan di Laban Rata berhampiran puncak Gunung Kinabalu sebagai langkah berjaga-jaga sejurus gempa bumi itu.

“Pendaki dan kakitangan Taman-Taman Sabah serta Sutera Sanctuary diminta berkumpul berhampiran tapak pendaratan helikopter selepas gegaran,” katanya.

Difahamkan, malim gunung bersama anggota Pasukan Bantuan Mencari Menyelamat di Gunung (MOSAR) sudah bersedia membawa semua pendaki turun ke kaki gunung secepat mungkin malam ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Rumah bergegar, lampu bergoyang'

[UPDATE] Ini gegaran baru

Gempa bumi melanda lagi...

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 11:23pm
d