mutakhir

Katil bergegar di Laban Rata

Oleh Junaidi Ladjana

“KECEWA tak sampai puncak Gunung Kinabalu, namun mungkin ada hikmahnya," kata Ahmad Ilmi Jasman, 45, berasal dari Johor.

Menurutnya, dia bersama isteri, Halimah Omar, 45, dan anak lelakinya Azib Hariz, 15, tiba di Sabah semalam sebelum ke Taman Kinabalu untuk mendaki gunung.

"Ketika pendakian, keadaan baik dan kami teruja untuk tiba di puncak. Saya dan Azib pertama kali mendaki Gunung Kinabalu manakala isteri sudah dua kali sampai puncak.

"Saya bersama isteri dan anak serta 20 pendaki lain tiba di Laban Rata 3.30 petang semalam sebelum berehat di penginapan," katanya ketika ditemui di Pondok Timpohon di Taman Kinabalu, pagi tadi.

Katanya, selepas solat Maghrib, dia mengambil beberapa keping gambar pemandangan batuan di Gunung Kinabalu sebagai kenangan.

"Ketika meneliti gambar itu, saya agak terkejut apabila melihat beberapa serpihan batu dan difahamkan kesan gempa bumi tiga tahun lalu.

"Waktu itu, rasa tak sedap hati dan sebelum gempa ketika berehat di penginapan Laban Rata, katil bergegar begitu kuat sebelum kami diarah keluar ke kawasan lapang.

"Sebanyak lima kali gegaran yang saya rasai. Situasi itu menyebabkan kami terkejut dan takut kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat walaupun gagal untuk menawan puncak Gunung Kinabalu dan berterima kasih kepada malim gunung dan pasukan penyelamat yang banyak membantu membawa mereka turun.

Seorang lagi pendaki, Dominic Chee, 50, berkata, sepanjang mendaki gunung, ini pertama kali merasai gegaran yang kuat.

"Gegaran sangat kuat sampai penginapan bergoyang manakala katil bergegar. Saya juga merasai gegaran beberapa kali disusuli dentuman kuat," katanya yang mahu datang semula untuk melengkapkan impian sampai ke puncak Gunung Kinabalu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Pendaki Gunung Kinabalu selamat turun

130 pendaki turun malam ini

'Rumah bergegar, lampu bergoyang'

Ini gegaran baru

Gempa bumi melanda lagi...

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 10:23am
d