mutakhir

'Semoga rohmu tenang anakku'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KANAK-KANAK lelaki berusia 11 bulan yang mengalami masalah saluran hempedu tersumbat meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada 5 petang semalam.

Muhammad Faris Wifiuddin Faris Irwan sebelum ini dijadualkan menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China di bawah tajaan kerajaan negeri membabitkan kos RM200,000.

Siti Rokiah Ab Wahab, 39, berkata Muhammad Faris Wifiuddin sepatutnya dijadualkan berangkat ke China pada 19 Mac lalu, tetapi tertangguh kerana keadaan anaknya yang tidak stabil dan dirawat di PPUM.

“Keadaan Wifiuddin yang kurang memuaskan menyebabkan tarikh ke Hospital Renji, Shanghai ditangguh sehingga keadaannya stabil dan sesuai untuk ke China.

“Bagaimanapun kesihatan Wifiuddin semakin merosot selain keadaan hatinya yang rosak teruk dan dipantau di PPUM sejak sebulan lalu,” katanya.

Katanya, sebagai ibu, mereka reda dengan pemergian Wifiuddin dan berpuas hati kerana sepanjang hayat anaknya, dia dan suami Faris Irwan Shafpii, 35, sudah berusaha sedaya mungkin untuk merawat anak bongsunya.

“Selepas agak lama Wifiuddin menderita, kami menerimanya dengan hati yang terbuka, malah tidak sanggup lagi melihat kesakitan yang dilaluinya.

“Jenazah arwah dibawa pulang ke kampung halaman suami dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Chalok Barat, Setiu,” katanya.

Harian Metro pada 20 Februari lalu melaporkan mengenai penderitaan Muhammad Faris Wifiuddin yang menderita kerana masalah saluran hempedu tersumbat.

Kanak-kanak itu perlu menjalani pembedahan pemindahan hati secepat mungkin di Hospital Renji, Shanghai membabitkan kos keseluruhan dianggarkan lebih RM200,000.

Justeru, ibu bapa dan keluarganya merayu bantuan dan sumbangan daripada orang ramai sekali gus menjadi tular di media sosial.

Berita berkaitan

'Tak sanggup anak terseksa' [METROTV]

Disiarkan pada: April 22, 2018 @ 8:30pm
d