mutakhir

[UPDATE] 5 ADUN UPKO nafi keluar BN

Oleh Wartawan NSTP

LIMA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mendakwa keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu keluar Barisan Nasional (BN) dan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk membentuk kerajaan negeri, tidak dirujuk kepada mereka.

Sehubungan lima ADUN terbabit, Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Bobbey Ah Fang Suan (Nabawan), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Masiung Banah (Kuamut) menyatakan pendirian kekal dalam BN untuk membentuk kerajaan di Sabah.

Masiung ketika ditemui dalam sidang media di Sri Gaya di Kota Kinabalu, hari ini berkata kenyataan Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau kononnya mereka bersetuju untuk bersama WARISAN adalah tidak benar.

“Kami menafikan perkara itu dan kedua, kami dimaklumkan ahli AMT UPKO mengadakan mesyuarat dan memutuskan untuk menyertai WARISAN. Bagaimanapun, perkara ini tidak pernah dirujuk dengan semua ADUN UPKO.

“Ada juga mengatakan kami ditahan (di Sri Gaya oleh BN) dan ingin saya maklumkan bahawa kami datang sini secara sukarela,” katanya.

Masiung berkata, mereka kekal dengan pendirian untuk bersama BN kerana mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah atas tiket BN.

Sementara itu, Ewon berkata dia lebih rela berada dalam kesatuan BN daripada bersama WARISAN.

“Kami di Sri Gaya sudah bersetuju untuk bersama menubuhkan kerajaan,” katanya.

Berita berkaitan

Kemelut di Sabah makin rumit [METROTV]

'Madius Tangau jumpa Shafie Apdal [METROTV]'

'Dah sampai istana tapi tak boleh masuk'

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 4:51pm
d