mutakhir

Tunggu Najib keluar ke pejabat SPRM

Oleh Mohd Hasbi Sidek

WAKIL media mula berkumpul seawal 7 pagi berhampiran kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu dijangka akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 10 pagi.

Najib boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SPRM 2009 sekiranya gagal hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya, untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dipetik berkata, notis sudah diserahkan kepada Najib untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi untuk dirakam keterangan.

“Sekiranya beliau tidak hadir untuk proses mengambil keterangan, beliau boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SPRM 2009.

“Setakat ini, SPRM hanya memanggil Najib sahaja dan belum membuat keputusan memanggil individu lain,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Jumaat lalu, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib untuk menghantar notis meminta Ahli Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Berita berkaitan

'Najib boleh kena tindakan...'

'Najib yang perlu hadir ke SPRM'

SPRM hadir di rumah Najib, Selasa ini

SPRM panggil Najib beri keterangan

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 8:41am
d