mutakhir

PDRM hantar pegawai ke Thailand

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawai ke Thailand dalam masa terdekat bagi proses ektradisi suspek yang mendalangi kes pembunuhan di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor, Disember tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd ketika dihubungi mengesahkan tangkapan lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu oleh polis Thailand di wilayah Chaiyaphum, kira-kira 260 kilometer di timur laut Bangkok kira-kira 7 pagi hari ini.

"Kami kini dalam proses untuk membawa balik suspek ke Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Pada masa sama, pegawai juga akan dihantar ke Thailand bagi tujuan proses ektradisi itu," katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perhubungan PDRM di Thailand Superintendan Ridzuan Abdul Aziz dalam satu kenyataan kepada BERNAMA memaklumkan lelaki terbabit adalah suspek utama yang dipercayai mendalangi kes pembunuhan terbabit.

Menurut Ridzuan, suspek tiba di Thailand, Disember tahun lalu sejurus berlaku kes pembunuhan itu dengan keadaan rambutnya dicukur dipercayai untuk menyembunyikan identitinya daripada dikesan pihak berkuasa.

"Apabila tiba di Thailand, suspek tinggal dalam keadaan penuh berahsia di sebuah wilayah terletak beberapa ratus kilometer dari Bangkok," katanya.

Penahanan suspek terbabit menamatkan operasi memburu besar-besaran oleh pihak berkuasa kedua-dua negara yang membabitkan dua sempadan sepanjang beberapa ribu kilometer selepas PDRM memohon bantuan dengan pihak polis di negara berkenaan. Sebelum ini, Wan Ahmad Najmuddin menerusi temu bual dengan Bernama, Januari lalu, memaklumkan beberapa individu disyaki terbabit dengan pembunuhan berprofil tinggi berkenaan melarikan diri dan bersembunyi di Thailand.

Dalam kejadian pada 17 Disember tahun lalu, seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ah Chiu berusia 44 tahun ditikam dan dilanggar dengan sebuah kereta BMW berwarna putih di stesen minyak berkenaan.

Rakaman video pembunuhan itu turut tular di media sosial.

Susulan itu, polis menahan beberapa lelaki serta wanita yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit dengan dua daripada mereka iaitu Gan Jia Ji, 19, dan Yip Kah Hou, 23, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Januari tahun lalu, selain masih memburu beberapa suspek yang masih bebas.

Berita berkaitan

Ditikam, dilanggar, digilis sampai mati [METROTV]

[UPDATE] Buru dan tahan suspek secepat mungkin"

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 8:49pm
d