mutakhir

'Tukar... kalau sayang nyawa'

Oleh Ahmad Suhael Adnan

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan notis kepada 358,233 pemilik kereta bagi 49 model pelbagai jenama yang belum menukar beg udara Takata bermasalah, bermula minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, notis itu akan mewajibkan pemilik kenderaan terbabit untuk menukar beg udara mereka dalam tempoh 14 hari.

Katanya, notis 14 hari kedua akan dikeluarkan jika mereka mengabaikan arahan notis pertama.

Menurutnya, seandainya masih ada pemilik kenderaan berdegil, tindakan saman RM300 atau RM2,000 bagi kes yang dibawa ke mahkamah, akan dikenakan kerana mengingkari arahan JPJ.

"Jika saman pun masih gagal, barulah pemilik kenderaan akan disenarai hitam dan tidak boleh memperbaharui cukai jalan seperti arahan yang saya keluarkan Sabtu lalu,” katanya pada sidang media Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, tindakan saman itu adalah langkah akhir kerana tujuan saya bukan untuk mendenda, tapi untuk memberi kesedaran kerana ini membabitkan isu keselamatan pemilik kenderaan ini.

"Ini bukan untuk menyusahkan rakyat kerana penukaran beg udara bermasalah di pusat penyelenggaraan ini percuma dan ditanggung syarikat pengeluar, selain hanya mengambil masa sekitar dua jam sahaja.

"Beg udara ini sepatutnya melindungi, tapi sekarang ia bukan saja tidak melindungi, malah membunuh. Kita nak semua orang sayang nyawa, ini berkenaan dengan nyawa anda sendiri," katanya.

Sabtu lalu, Siew Fook dilaporkan berkata 71,315 kereta pelbagai jenama, khususnya Honda tidak boleh memperbaharui cukai jalan jika tidak menukar beg udara susulan statistik merekodkan lapan kes berpunca daripada kepincangan beg udara Honda, sejak 2014.

Terdahulu, beliau bertemu dengan wakil daripada lapan pengeluar kenderaan iaitu Toyota, Nissan, Honda, BMW, Mitsubishi, Subaru, Mazda dan Lexus yang memanggil balik kenderaan masing-masing susulan isu beg udara Takata bermasalah.

Siew Fook berkata, hasil pertemuan itu mendapati jumlah sebenar kenderaan yang terbabit dengan masalah beg udara itu adalah lebih tinggi daripada data awal yang dimiliki kementerian.

Berita berkaitan:

Dilarang perbaharui cukai jalan kereta isu beg udara

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 1:49pm
d