mutakhir

Saksi kebakaran diminta tampil

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

POLIS meminta saksi kejadian gerai menjual bunga api terbakar di hadapan bank di bandar Bahau pada malam 1 Syawal lalu, tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, seorang ibu dan anaknya dipercayai mencetuskan kebakaran itu dengan tidak sengaja.

"Siasatan juga mendapati seorang kanak-kanak ditemani ibunya bermain mercun happy boom telur naga dan dipercayai dibaling ke atas meja jualan bunga api terbabit.

"Kita juga berharap orang ramai yang mengalami kecederaan pada kejadian pada 9.45 malam itu tampil membuat laporan selepas siasatan polis mendapati ada tiga mangsa yang cedera,” katanya.

Sementara itu, dua peniaga berusia 30-an yang menjual bunga api berkenaan ditahan Ahad lalu dan diambil keterangan sebelum dibebaskan.

Katanya siasatan polis mendapati peniaga mempunyai permit menjual mercun jenis pop - pop dan happy boom dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Berita berkaitan:

Bagai 'zon perang'

[UPDATE] Bomba siasat punca gerai mercun terbakar [METROTV]

Disiarkan pada: June 19, 2018 @ 9:30am
d