mutakhir

Dah jumpa mayat Sulaili...

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

SELEPAS tiga hari dilaporkan hilang, mayat Sulaili Hassan, ditemui di tebing Sungai Kelantan, dekat Paloh Rawa, Machang, 9.45 pagi, hari ini.

Mangsa berusia 42 tahun itu ditemui pasukan polis dan penduduk kampung, kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan.

Katanya, mayat mangsa ditemui pasukan polis dan penduduk yang menjalankan gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak tiga hari lalu.

"Jarak antara tempat kejadian lemas dengan kawasan mayat mangsa ditemui dalam lingkungan 10 kilometer.

"Mayat mangsa di bawa naik ke darat melalui pengkalan Pasir Paloh Rawa dan di bawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, gerakan SAR ditutup sepenuhnya 11 pagi tadi selepas penemuan mayat mangsa.

NSTP semalam melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke sungai Kelantan di jeti Temangan, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa dikatakan cuba mengalihkan rumah pam bersama adik iparnya Ahmad Zamri, 26 sebelum tergelincir ke dalam sungai

Berita berkaitan

Pekerja pam pasir masih hilang...

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 2:03pm
d