mutakhir

[UPDATE] MB sedia taja tangan palsu Khumaira

Oleh BERNAMA

KERAJAAN negeri Terengganu sedia menaja kos rawatan Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, untuk mendapatkan tangan palsu agar kanak-kanak itu dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau akan melawat kanak-kanak itu dalam masa terdekat.

“Semoga sumbangan tidak seberapa ini dapat membantu adik Khumaira meneruskan kehidupan seperti biasa. “Diharapkan agar adik Khumaira dan keluarga tabah serta cekal menerima dugaan yang berat ini,” katanya menerusi catatan laman sosial Facebook (FB) beliau hari ini.

Dalam kejadian 9.30 malam kelmarin, mangsa putus lengan kiri selepas bajunya tersangkut pada rim motosikal ketika membonceng motosikal ditunggang kakak sepupunya, Noor Aina Hananie Razalie, 18, untuk ke rumah penghulu kampung bagi mendapatkan cop pengesahan permohonan pembiayaan pendidikan Yayasan Terengganu (YT).

Kemalangan di Kampung Binjai Bongkok dekat Marang itu menjadi tular dan mendapat perhatian rakyat Malaysia yang simpati dengan nasib malang kanak-kanak itu.

Nur Zulaikha Khumaira kini masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Semalam, bapa kanak-kanak itu, Zulkifli Mohamad, 38, melahirkan kebimbangan ekoran keputusan awal doktor yang menyatakan kemungkinan anaknya tidak dapat menggunakan tangan palsu berikutan kecederaan dialaminya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Nur Zulaikha nak tangan palsu [METROTV]'

'Ya Allah, tangan ku...'

Disiarkan pada: July 14, 2018 @ 12:10pm
d