mutakhir

Tiada permohonan kahwin pasangan remaja

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

MAHKAMAH Syariah negeri Kelantan tidak menerima sebarang permohonan perkahwinan di antara budak perempuan berusia 13 tahun dengan remaja lelaki 19 tahun.

Ketua Pendakwa Syarie Negeri Kelantan, Zaini Sulaiman berkata, sehingga kini pasangan berkenaan belum membuat permohonan di mahkamah untuk pengesahan perkahwinan.

Katanya, mereka perlu mendapat kebenaran mahkamah memandangkan pengantin perempuan di bawah umur walaupun perkahwinan berlangsung di negara jiran.

“Kita harap pasangan muda itu tampil di Mahkamah Syariah berdekatan untuk membuat pendaftaran bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang termasuk membuat surat beranak anak.

“Mereka melakukan kesalahan mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002 yang boleh didenda maksimum RM1,000,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, pasangan itu perlu membawa dokumen perkahwinan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Narathiwat bagi memudahkan urusan pendaftaran.

Berita berkaitan:

Lagi budak bawah umur kahwin

Disiarkan pada: July 23, 2018 @ 11:57am
d