mutakhir

Lalok sampai bakar rumah

Oleh Mohd Roji Kawi dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

KHAYAL syabu menyebabkan seorang lelaki hilang pertimbangan sehingga membakar rumah keluarganya di Kampung Tanjung Pisang, di Simunjan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, suspek berusia 33 tahun itu bertindak luar kawalan sehingga memusnahkan rumah berkenaan.

Difahamkan, penduduk yang tinggal berhampiran pada mulanya menyangka tiada sebarang unsur khianat dalam kejadian itu sebelum menghubungi bomba untuk memadamkan kebakaran.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Zamzuri Muhammad berkata, hasil siasatan awal, pihaknya mengesyaki terdapat unsur khianat dalam kejadian berkenaan sebelum menggerakkan operasi mencari pemilik rumah.

Menurutnya, suspek yang juga seorang petani itu kemudiannya ditemui menyembunyikan diri di sebuah rumah kosong berhampiran lokasi kejadian.

“Suspek yang ditahan mengakui membakar rumah berkenaan sebelum menyembunyikan diri.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan suspek bertindak sedemikian ketika di bawah pengaruh syabu," katanya, hari ini.

Tambahnya, suspek dibawa ke Balai Polis Simunjan untuk siasatan lanjut dan kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.53 malam.

Beliau berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan dikejarkan ke lokasi.

“Anggota kami terpaksa menggunakan air dari jentera untuk memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan berikutan tekanan air di kawasan berkenaan terlampau rendah.

“Kedua-dua penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.

Berita berkaitan:

Terpaksa guna air jentera bomba

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 11:12am
d