mutakhir

Isu Khazanah: PM akan buat keputusan

Oleh Ahmad Suhael Adnan

KEPUTUSAN sama ada peletakan jawatan sembilan pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) diterima atau sebaliknya, akan ditentukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata Perdana Menteri memiliki prerogatif untuk menentukan hala tuju Khazanah, termasuk melantik pengarah baharu atau mengekalkan pengurusan sedia ada.

“Perdana Menteri akan membuat keputusan terakhir dan kita serahkan pada kebijaksanaannya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng diminta mengulas peletakan jawatan sembilan pengarah Khazanah termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof, bagi memberi laluan kepada kerajaan baharu memutuskan kepemimpinan serta hala tuju dana kekayaan kedaulatan itu.

Pengarah lain membabitkan Datuk Seri Nazir Razak, Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas Dr Mahathir mengkritik Khazanah yang didakwa menyimpang daripada tujuan asal dalam membantu Bumiputera.

Guan Eng berkata, keputusan peletakan jawatan itu adalah bagi memberi peluang kepada Perdana Menteri membuat keputusan mengenai masa depan Khazanah.

“Itu keputusan mereka, mungkin mereka ingin memberi peluang kepada Perdana Menteri membuat keputusan mengenai hala tuju seterusnya, sama ada pengarah yang dilantik kerajaan lama dikekalkan atau melantik pengarah baharu.

“Itu adalah langkah bijaksana untuk memberi pilihan kepada Perdana Menteri membuat keputusan," katanya.

Ditanya sama ada pelantikan dan peletakan jawatan pengarah Khazanah dibincang oleh jemaah Menteri, Guan Eng berkata, ia tidak berbangkit dalam mesyuarat Kabinet semalam.

“Terpulang kepada Perdana Menteri untuk memutuskan langkah seterusnya,”€ katanya.

Berita berkaitan:

Lembaga pengarah Khazanah letak jawatan

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 1:18pm
d