mutakhir

Lemas di kawasan larangan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LOKASI kejadian lemas yang mengorbankan nyawa lelaki di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam, bukan berlaku dalam kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti mandi.

Ketua Turus Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) Terengganu, Datuk Ramli Embong berkata, lokasi kejadian adalah kawasan larangan untuk mandi dan jaraknya lebih 100 meter dari zon kawasan dibenarkan.

"Walaupun tidak berada di zon kawasan dibenarkan untuk mandi, petugas PTCM ada melakukan kawalan di sepanjang pantai. Namun secara kebetulan, ketika kejadian, petugas PTCM yang ditugaskan baharu bertukar shif.

"Jadi, memang tiada anggota PTCM bertugas berhampiran lokasi sebelum kami menerima panggilan daripada pekerja di resort berdekatan memaklumkan kejadian berkenaan," katanya.

Ramli berkata, ketiadaan papan tanda pemberitahuan kawasan larangan mandi di lokasi kejadian juga menyebabkan orang awam terutama pelancong luar tidak mengetahui kawasan berkenaan tidak dibenarkan untuk aktiviti pantai.

"PTCM sebenarnya dalam usaha memastikan penyediaan papan tanda pemberitahuan disediakan secukupnya sebagai peringatan kepada orang ramai, terutama pelancong dan yang datang dari luar Terengganu.

"Permasalahan ini sudah dibincangkan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan peruntukan untuk menyelesaikan masalah ini dan Insya-Allah, ia mendapat perhatian pihak berkaitan," katanya.

NSTP semalam melaporkan percutian empat sahabat ke Terengganu berakhir duka apabila seorang daripada mereka lemas ketika mandi di Pantai Batu Buruk, di sini.

Dalam kejadian 5 petang itu, mayat mangsa, Mohamad Shamin Ashraf Rahim Raja, 25, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta orang ramai kira-kira 31 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Berita berkaitan

Ajalmu di pantai Batu Buruk

Terkilan tak dapat selamatkan rakan

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 7:26pm
d