mutakhir

Sungai Kandis kayu ukur Seri Setia, Balakong

Oleh Wartawan NSTP

GERAK kerja jentera PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan menjadi kayu ukur kepada kempen PRK DUN Seri Setia dan Balakong.

Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari, berkata PKR puas hati dengan kejayaan PRK DUN Sungai Kandis dengan majoriti lebih 5,500 undi kerana ia adalah pilihan raya kecil dan peratus keluar mengundi yang rendah berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata jumlah keluar mengundi yang rendah itu mungkin berpunca daripada faktor terlalu dekat dengan PRU-14 dan kekurangan semangat dalam kalangan pengundi.

“Pada PRU-14 mereka keluar beramai-ramai dan bersemangat untuk menukar kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman kemenangan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, pada PRK DUN Sungai Kandis, malam ini.

Beliau berkata ada juga rasa selesa dalam kalangan penyokong PH menyebabkan mereka tidak keluar mengundi selain ada yang bekerja pada hari Sabtu.

Katanya, walaupun jumlah undi diperoleh menurun, PKR merekodkan keputusan yang positif di beberapa kawasan di Sungai Kandis.

“Di (Daerah Mengundi) Kampung Pandan, sebelum ini PKR kalah 37 undi tetapi kali ini kita kalah hanya 30 undi.

Bagaimanapun, katanya, PKR kalah agak besar di Seri Gambut dan Bukit Naga iaitu masing-masing 102 dan 70 undi walaupun menang jumlah kecil pada PRU-14.

“Tugas kita sekarang ialah meneruskan program tradisi peduli rakyat dan kerja baik yang ditinggalkan oleh Allahyarham Suhaimi. Diharapkan PH akan memperoleh kejayaan besar di dua lagi PRK (Balakong dan Seri setia),” katanya.

Lagi berita PRK Sungai Kandis

Disiarkan pada: August 5, 2018 @ 12:08am
d