mutakhir

[UPDATE] Keadaan semakin terkawal

Oleh Ruwaida Md Zain

KEADAAN persekitaran berhampiran kilang ais di Desa Latania, Shah Alam susulan kebocoran gas amonia, awal pagi hari ini sehingga mengakibatkan kematian dua pekerja berada dalam keadaan terkawal.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Shah Alam Yusri Basri berkata, pihaknya masih bertungkus-lumus di lokasi kejadian.

“Pada peringkat ini, tiga anggota pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sedang bekerja dalam kawasan kilang untuk meneutralkan gas ammonia agar seimbang dengan udara.

“Sekarang ini bacaan adalah terkawal dan kuantiti ammonia yang terdapat di dalam saluran untuk memproses kuib ais tadi, masih ada lagi.

“Kita sekarang dalam usaha untuk menstabilkan semula ammonia dan udara yang berada di sekitar,” katanya ketika ditemui 300 meter dari lokasi.

Kilang ais terbabit terletak 150 meter dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Klang dan 250 meter dari Pangsapuri Sri Era, Jalan Nagasari, Shah Alam.

Katanya, kawasan luar kilang itu adalah selamat berbanding bacaan pagi tadi iaitu 500 ppm (part per million).

“Sekarang bacaan dimaklumkan kepada saya di sekitar kawasan kilang di bahagian atas lima ppm sahaja

“Cuma kita belum membenarkan orang awam melalui kawasan berdekatan kerana tidak mahu operasi di ganggu pihak tidak bertanggungjawab.

“Apabila menyahcemar gas ammonia dan menstabilkannya, kita boleh bernafas dengan baik dan normal semula,” katanya.

Beliau menjangkakan operasi akan berjalan sehingga dua hingga tiga jam lagi.

“Bacaan di kawasan berhampiran berlaku kebocoran adalah 350 ppm, sekiranya bawah 50 ppm boleh bernafas dan bekerja,” katanya.

Berhubung penutupan atau penyitaan kilang katanya, ia terletak di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Berita berkaitan

Dua maut terhidu gas ammonia

Disiarkan pada: August 13, 2018 @ 4:15pm
d