mutakhir

[UPDATE] Suspek serang jiran direman 6 hari

Oleh Farah Suhaidah Othman

SUSPEK yang menyerang lelaki warga emas yang juga jirannya hingga mati dalam pergaduhan di kawasan kediaman mereka di bangunan Foo Yet Kai di Jalan Sultan Iskandar, Ipoh, semalam direman enam hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali, berkata polis menahan suspek lelaki berusia 51 tahun itu di hospital di Ipoh selepas kejadian.

Beliau berkata, mahkamah membenarkan lelaki berkenaan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

“Polis masih menyiasat kes itu sebagai kes bunuh walaupun hasil bedah siasat dijalankan terhadap mayat Choor Por, 74, hari ini mendapati mangsa maut akibat serangan jantung.

“Setakat ini polis mengekalkan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian pada 9.30 pagi semalam, mangsa tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam pergaduhan bersama suspek, sebelum dia disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, sejam kemudian.

Mangsa dikatakan bergaduh dengan suspek di tempat letak kereta di bangunan berkenaan berikutan suspek berang dengan tindakan isteri mangsa yang mengambil gambar suspek menggunakan telefon bimbit.

Selain itu, dikatakan berlaku perselisihan faham antara dua jiran berkenaan sejak kira-kira lapan tahun lalu.

Pergelutan itu turut mengakibatkan suspek cedera di beberapa anggota badan manakala anak lelaki mangsa yang turut terbabit dalam pergaduhan itu cedera di kepala.

Berita berkaitan

'Dendam lama sampai ke mati'

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 5:02pm
d