mutakhir

Hasanah saman kerajaan, SPRM

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak membenarkannya berjumpa dan berunding dengan peguam ketika direman berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Hasanah memfailkan saman itu melalui Tetuan Azam Aziz Shahrudinali & Co pada 30 Ogos lalu menamakan SPRM dan kerajaan sebagai responden.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah ketika ditemui berkata, mahkamah menetapkan 24 September ini untuk mendengar permohonan saman itu.

Berdasarkan notis usul, Hasanah memohon pengisytiharan bahawa surat pemberitahuan dikeluarkan SPRM di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah (KAJ) untuk menyekat hak pemohon daripada berunding dengan peguamnya sepanjang tempoh direman adalah bertentangan dengan Fasal 5(3) dan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mendakwa Seksyen 28A terbabit adalah tidak sah, batal dan tiada kesan serta tidak boleh dikuat kuasakan terhadapnya.

Sementara itu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Hasanah melalui afidavit sokongannya berkata, pihaknya mengetahui anak guamnya ditahan jam 5 petang 28 Ogos lalu.

Menurutnya, ahli keluarga Hasanah mengarahkan mereka untuk hadir keesokkannya dalam prosiding reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Mohd Khairul Azam mendakwa mereka diberi salinan pemberitahuan di bawah Seksyen 28A (8) (9) KAJ bahawa Hasanah tidak dibenarkan/ disekat daripada berunding dengan peguam.

Beliau mendakwa, berdasarkan Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang ditahan hendaklah diberikan dua hak kebebasan asasi iaitu hak untuk berunding dan dibela oleh peguam.

Menurutnya, Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan bukan hanya terpakai terhadap seorang yang dituduh di mahkamah, tetapi terpakai kepada mana-mana orang yang ditahan.

Katanya, terdapat isu undang-undang yang mustahak untuk diputuskan oleh mahkamah bagi mengisytiharkan Seksyen 28(8) dan (9) KAJ adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Hasanah direman enam hari bermula 29 Ogos lalu bagi membantu siasatan dan dibebaskan semalam.

Berita berkaitan

Hasanah bebas tahanan reman [METROTV]

Reman sehari lagi [METROTV]

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 4:46pm
d