mutakhir

Hilang 45 jam

Oleh Adnan Ibrahim

“SAYA hanya makan coklat untuk alas perut dan minum air sungai sepanjang dua hari dalam hutan,” kata Mohamad Nizam Ahmad Ansar, 29, pendaki yang ditemui selamat hari ini, selepas hilang ketika mendaki Gunung Gua Rimau, Kluang, petang Sabtu lalu.

Lelaki itu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 2.45 petang iaitu kira-kira 45 jam, dia dilaporkan hilang.

Mangsa ditemui kira-kira 500 meter daripada lokasi dia dilaporkan kali terakhir dilihat.

Menceritakan kejadian, Mohamad Nizam berkata, dia terpisah daripada kumpulannya ketika berhenti untuk berehat dan tidak menyangka sekelip mata semua rakannya hilang.

“Saya cuba mengejar namun mula keliru dengan keadaan jalan yang perlu dilalui kerana terlalu banyak simpang menyebabkan saya berpatah balik untuk menunggu kumpulan lain yang masih berada di belakang.

“Namun, cubaan berpatah balik itu menyebabkan saya sesat sebelum menemui sebatang sungai menyebabkan saya mengambil keputusan menunggu mereka mencari saya di kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Jarinah Hassan, 55, bersyukur kerana anaknya ditemui selamat oleh pasukan SAR yang bersusah payah mengerah tenaga dalam operasi itu.

“Saya berharap ia dijadikan pengajaran kepada Mohamad Nizam supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan ekspedisi mendaki mana-mana gunung pada masa akan datang.

“Kami akan membawa dia pulang selepas selesai pemeriksaan di hospital dan berharap dia dalam keadaan sihat selepas kejadian ini,” katanya.

Jarinah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam operasi pencarian anaknya itu.

Sementara itu, Ketua Operasi SAR, Asisten Superintendan Mohd Adzhan Mat berkata, selepas ditemui, Mohamad Nizam dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk pemeriksaan.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pasukan yang bekerjasama dan kerja keras dalam usaha mencari mangsa,” katanya.

Berita berkaitan:

Pendaki hilang di Gunung Gua Rimau

Disiarkan pada: September 10, 2018 @ 6:47pm
d